~ TIPS KESIHATAN ~ RESEPI ~ CORETAN HATI ~ TIPS KECANTIKAN ~ TEMPAHAN BLOG ~

Thursday, 16 February 2012

Cetusan hati

  Mudah sekali kita menjalinkan hubungan dan mudah sekali kita  memutuskan hubungan. Mencintai  dan dicintai menjadi tidak asyik lagi. Sudah menjadi perkara biasa didalam kamus percintaan. Masa muda dilihat serba sempurna sekadar  memuaskan mata, mamanjakan hasrat dihati  dan mengabaikan larangan Allah.

Kita memang tidak layak meletakkan cinta kepada manusia secara berlebihan. Apatah lagi mereka yang baru mengenal cinta seperti remaja dalam melabuhkan cinta.Orang yang kita cintai adalah orang biasa, tetapi kita yang memandangnya dengan cara luar biasa. kita selalu mendengar lirik – lirik lagu, syair pujangga dan filem cinta, yang membuatkan kita terikut – ikut dengannya

Mungkinkah cinta kita pada pasangan kita adalah atas dasar kecantikan, kesempurnaan, desakan keluarga dan atau atas dasar agama?

Kita selalu mencari pasangan hidup yang sempurna, cantik, dan berharta dengan harapan mendapat kebahagian berkeluarga di kemudian hari. Tetapi kita lupa yang menurunkn rahmat dan kebahagian ialah Allah Yang Maha Berkuasa. Berkahwinlah, tetapi bukan semata-mata kerana cinta tetapi untuk menyempurnakan agama.

Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang hamba menikah, maka telah sempurnalah setengah agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada setengah yang lain.”

Cuba  imbas kembali zaman datuk dan opah kita dahulu diwaktu mereka bertemu. Kebanyakan mereka disatukan oleh keluarga. Tanpa sebarang  bantahan dan  bicara, perkahwinan tersebut di persetujui oleh kedua-dua belah pihak  asalkan calon menantu seorang yang baik dan beriman. Walau mereka bersatu bukan atas dasar cinta tetapi lama-kelamaan rasa itu boleh dirasai.  Disitu lah hikmah dan nikmatnya sebuah restu orang tua.


Daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia.”


Hari ini kita berbicara cinta, hari esok tiada rasa. Hari ini kita berjanji setia, hari esok  tiada suara.  Hari ini dia milikmu, hari ini esok belum tentu.  Siapa kita untuk mengatur sekeping hati, mengatur jalan kaki sendiri ke arah yang benar pun ramai yang tidak pasti.

Semua orang ingin dicintai, tambahan pula bila dicintai oleh insan yang mereka cintai.  Apabila cinta tidak kesampaian, ramai yang merajuk hati hingga ada insan yang lebih rela memilih mati sebagai jalan mudah hanya  kerana  cinta titolak.  Alangkah ruginya titisan air mata dilepaskan untuk cinta pada manusia yang hidupnya hanya sementara.

Sedangkan tidak ramai yang sanggup mengalirkan airmata menghayati anugerah ILAHI.  Tidak banyak pula yang mensyukuri nikmat yang diberi olehNya. Berapa ramai daripada kita yang sedar bahawa takdirnya adalah terbaik untuk setiap hambaNya.  Percayalah bahawasanya Dia lebih mengenali hati hambaNya.  Masakan Allah yang maha Penyayang bersikap zalim.  Dia Maha Mengetahui segala sesuatu baik  mahupun yang tersembunyi.



“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

( Surah Ar-Ruum ayat 21 )